Penculik minta tebusan RM700,000 untuk lepaskan lelaki 24 tahun

Spread the love

GEORGE TOWN, 11 Nov: Polis menahan 20 individu berhubung kes penculikan seorang pemuda berusia 24 tahun membabitkan wang tebusan RM700,000 dalam serbuan di negeri ini dan Kedah semalam.

Suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita warga tempatan serta 11 lelaki warga asing ditahan secara berasingan di beberapa lokasi sekitar Bukit Mertajam dekat sini dan Kulim, Kedah.

Mangsa lelaki warga asing yang dikurung di sebuah rumah di Kulim turut berjaya diselamatkan pada operasi itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes penculikan seorang lelaki pada Selasa lalu.

Ujarnya, rakan kepada bapa mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan membuat laporan kira-kira pukul 2 pagi berhubung kejadian berkenaan sebelum polis melancarkan operasi.

“Mangsa didakwa diculik di sebuah rumah di Bukit Mertajam sebelum suspek menghubungi keluarga mangsa.

“Suspek meminta wang (tebusan) RM700,000 dan jika pembayaran tidak dibuat, mangsa akan dibunuh oleh suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shuhaily, mangsa berjaya diselamatkan dua hari kemudian, manakala suspek berusia antara 24 hingga 60 tahun turut dicekup.

“Mangsa diselamatkan dalam keadaan kakinya dirantai di sebuah rumah di Kulim.

“Dia berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan disyaki dipukul pada kaki dan belakang badan,” katanya lagi.

Menurut beliau, polis turut membuat rampasan membabitkan dua buah kereta, rantai besi sepanjang 2.1 meter, 17 buah telefon bimbit, cota, buku bank, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), slip bank, tali, batang besi dan gunting besi.

Suspek direman selama empat hari sehingga Ahad depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.