Kerajaan Sarawak akan kaji sistem pembayaran elaun guru KAFA

Spread the love

KUCHING, 11 Nov: Kerajaan Sarawak akan mengkaji sistem pemberian elaun kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan perancangan masa hadapan bahawa pemberian elaun akan disalurkan oleh institusi yang diiktiraf oleh pihak kerajaan negeri.

“Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) untuk berbincang mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Randau Belia Islam Bersama Premier Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, kajian bersama JAIS juga akan mengenal pasti medium terbaik bagaimana untuk menambah elaun kepada guru KAFA selepas ini.

“Penambahan ini adalah sebagai ganjaran kepada sistem perkhidmatan kita,” jelasnya.

Sementara, beliau juga mendedahkan kerajaan Sarawak turut sedang merancang untuk mewujudkan Fakulti Islam dalam universiti tempatan di negeri ini.

Hasrat berkenaan katanya tercetus berdasarkan institusi pengajian Islam swasta sepenuh masa di Singapura iaitu Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Kira-kira 1,000 orang belia Islam dari Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian hadir pada Majlis Randau Belia Islam Bersama Premier Sarawak hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha serta tetamu kehormat lain.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.