Jual 16,000 batang buluh jana pendapatan semasa musim pilihan raya

Spread the love

BUKIT MERTAJAM, 11 Nov: Kemeriahan perang bendera semasa tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membuka rezeki kepada sekumpulan anak muda di Kampung Mengkuang Mak Sulong, Permatang Pauh di sini yang mengusahakan perniagaan buluh bagi dijadikan batang bendera.

Penjual buluh, Muhammad Muzzamir Roslan, 29, berkata, perniagaan yang dijalankan bersama empat rakannya itu memberi pendapatan sampingan yang lumayan.

Ujarnya, buluh yang dijual pada harga RM1.50 sebatang mendapat permintaan tinggi daripada parti-parti politik yang bertanding untuk kegunaan memasang bendera dan bagi mendirikan markas sementara parti.

“Setakat ini (minggu pertama kempen) permintaan amat menggalakkan dan kami telah menjual 16,000 batang buluh berbanding 10,000 batang yang dijual pada PRU-14.

“Tempahan sudah diterima sejak kira-kira dua minggu sebelum penamaan calon lagi,” katanya kepada TVS hari ini.

Ujar Muhammad Muzzamir, dia bersama rakan-rakan mengagihkan tugas kepada setiap orang bagi memastikan kelancaran pengeluaran batang-batang buluh sebelum diserahkan kepada pelanggan.

“Ada yang berperanan potong (buluh), bersihkan ranting dan pilih buluh yang elok.

“Saya mengambil buluh ini yang tumbuh liar yang pernah ditanam oleh Tok Wan (datuk) dulu-dulu di atas tanahnya,” ujarnya yang turut mengusahakan kedai makan.

Katanya, buluh mendapat permintaan tinggi bagi pemasangan bendera kerana lebih tahan lama berbanding plastik, harga lebih murah dan susah patah. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.