KUCHING, 11 Nov: Meskipun telah lama meninggal dunia, lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee masih segar dan diminati ramai.
Lagu-lagu ciptaan Allahyarham masih berkumandang di mana-mana, justeru penyanyi terkenal tanah air Liza Hanim merasa teruja apabila dipelawa menjadi juri jemputan Getaran Jiwa minggu keempat.
Menurutnya, karya P. Ramlee dan Saloma begitu dekat di hatinya.
“Apabila dijemput untuk menjadi juri jemputan pada minggu ini, saya berasa sangat teruja kerana karya Allahyarham amat dekat di hati saya.
“Saya sendiri juga mengalu-alukan untuk sesiapa sahaja memberi nafas baru ke atas karya Allahyarham kerana keistimewaan karyanya tidak lapuk ditelan zaman.
“Walaupun pembawaan kepada gaya lama dan baru, ia tetap mempunyai gaya tersendiri. Jadi saya sangat teruja untuk melihat persembahan para peserta,” katanya ketika ditemui TVS pada raptai Getaran Jiwa di Stadium MBKS di sini, hari ini.
Selain meletakkan harapan yang tinggi, Liza Hanim juga melihat kepada kriteria kebolehan untuk menyampaikan persembahan dengan baik.
“Kriteria yang penting selain boleh menyanyi dan mempunyai persembahan pentas yang baik, mereka boleh menyampaikan kisah melalui persembahan.
“Setiap lagu ciptaan Allahyarham mempunyai kisah yang tersendiri yang juga boleh diterjemahkan kepada bentuk nyanyian dan persembahan,” katanya lagi.
Diinspirasikan oleh karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma, program lapan episod ini menampilkan lapan peserta berbeza untuk episod satu hingga lima.
Secara keseluruhannya, 40 peserta yang terpilih melalui pencarian bakat seluruh negara akan bertanding dalam program ini. Getaran Jiwa menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM60,000
Selain daripada siaran langsung di saluran 122 Astro dan MYTV, orang awam berusia 12 tahun ke atas juga boleh menonton konsert mingguan Getaran Jiwa LIVE di Stadium MBKS Bintawa.
Masuk adalah percuma. Mereka yang berminat boleh mendaftar di pautan bit.ly/GETARANJIWA.
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.