Belia Islam Sarawak diseru aktif dalam pelbagai bidang kemahiran

Spread the love

KUCHING, 11 Nov: Golongan belia Islam di negeri ini diseru untuk bergiat aktif dalam pelbagai bidang kemahiran seiring peredaran semasa.

Hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar golongan ini dapat setanding dengan golongan belia bukan Islam di negeri ini.

“Saya telah berjumpa dengan anak-anak kita yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia melalui Program Lan Berambeh serta mendapat maklum balas daripada mereka mengenai keperluan dan bagaimana memanfaatkan ilmu bagi membangunkan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Randau Belia Islam bersama Premier Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Abang Johari memberitahu bagi mendorong perkembangan positif belia Islam di negeri ini beberapa kemudahan harus diberi perhatian termasuk mereka yang berada ke Semenanjung Malaysia.

Justeru menurut beliau, program yang diadakan hari ini bertujuan untuk mendekati belia Islam bagi mengenal pasti platform terbaik membangunkan golongan ini agar setanding dan selari dengan kemajuan para belia dari kaum lain.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari turut mendedahkan kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM200 juta bagi pembinaan kampus baharu Kolej Universiti I-CATS berhampiran Kampung Trombol, Telaga Air, di sini.

“Pembinaan kampus baharu ini akan dilaksanakan bermula tahun hadapan,” ujarnya.

Menerusi inisiatif berkenaan beliau meminta belia di seluruh negeri merebut peluang untuk memperkasakan kemahiran melalui institusi kemahiran yang telah disediakan oleh kerajaan Sarawak. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.