PRU-15: Wan Junaidi sedih sikap ahli politik ‘katak’ lupa diri, cemar nama parti

Spread the love

KUCHING, 10 Nov: Tindakan sesetengah ahli politik yang melompat parti kerana memberontak apabila tidak dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diibaratkan sebagai mereka yang lupa diri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan mereka ini seharusnya akur terhadap keputusan yang telah ditetapkan oleh pucuk kepimpinan parti meskipun ia tidak memihak kepada mereka.

“Melihat apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia, saya sedih kerana ini adalah sikap yang tidak menunjukkan kesetiaan terhadap parti dengan berpindah dari parti ‘A’ ke parti ‘B’, adakah mereka akan memberontak lagi nanti?

“Bagaimana rakyat akan percaya terhadap parti kita?,” soalnya.

Sikap ahli politik ‘katak’ cemar nama parti

Mantan Ahli Parlimen Santubong itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membantu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkempen untuk PRU-15 di Kampung Senari di sini, hari ini.

Wan Junaidi juga mengingatkan bahawa kejayaan dan kedudukan seseorang ahli politik yang diraih pada masa kini merupakan hasil usaha yang telah dibina oleh parti mereka terdahulu.

Bercakap mengenai tindakan beliau turun padang membantu Nancy berkempen, Wan Junaidi memberitahu walapun tidak lagi bergelar Ahli Parlimen Santubong, beliau mengambil keputusan untuk terus menyokong dan membantu Nancy.

Hasrat beliau adalah berlandaskan kepada kesetiaan dan semangat kepartian dalam diri setiap pemimpin termasuk dirinya bagi mengukuhkan dan memperkuatkan lagi kedudukan parti.

“Saya sebagai ahli parti yang taat tetap menyokong calon yang dipilih oleh parti,” tegasnya sambil mengulangi tindakan sedemikian merupakan semangat kepartian yang tertanam dalam diri.  -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.