SDEC pasang peralatan telekomunikasi di 300 menara siap

Spread the love

SEBUYAU, 10 Nov: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dalam proses memasang peralatan komunikasi di 300 menara yang sudah disiapkan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA). 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, ia melibatkan pelaksanaan fasa pertama di bawah projek Telekomunikasi Luar Bandar SMA (Smart). 

“Jadi, projek fasa pertama menara telekomunikasi itu kini dikendalikan SDEC untuk proses pemasangan alat telekomunikasi. 

“Kita berharap selepas proses tersebut, kesemua menara bersedia untuk memberikan pancaran ke kawasan yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rindok Digital Mini di Dewan Pembangunan Sebuyau, dekat sini pada Rabu. 

Menurutnya lagi, untuk melaksanakan projek tersebut, mereka juga berhadapan dengan pelbagai cabaran dan meminta rakyat memahami perkara tersebut. 

“Projek ini masih berjalan, agensi pelaksana juga sedang bekerja bertungkus lumus menyiapkan program di tapak menara tersebut. 

“Ia memakan masa kerana kerjakerja pemasangan alat telekomunikasi ini bukan mudah. Jika hujan, ia tidak dapat dipasang,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak memberitahu, fasa kedua projek menara tersebut sudah berjalan dan pihaknya sudah mengenal pasti tapak projek.

“Kita juga akan menggerakkan semua kontraktor ke tapak pembinaan tersebut. 

“Diharapkan beberapa menara itu akan bersedia untuk menyediakan perkhidmatan dan memberi isyarat menjelang suku pertama tahun hadapan,” jelasnya. 

Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk membina 7,000 menara telekomunikasi bagi memastikan liputan komunikasi diperluas ke seluruh negeri menjelang 2025 hingga 2030 akan dapat dicapai dengan pembabitan agensi Persekutuan dan negeri. 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,471 sudah dibina dan yang sedang dibina adalah 1,043. Menara telekomunikasi di bawah Projek Smart 300 dilengkapi teknologi Rangkaian Teras Operator Berbilang (MOCN). -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.