PRU-15: Perkhidmatan feri akan disediakan di Nanga Melipis, Kapit

Spread the love

KAPIT, 9 Nov: Rintangan seperti ketiadaan akses jalan yang baik dan jaringan internet lemah terpaksa ditempuhi pelajar di pedalaman namun tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk menimba ilmu.

Perkara itu diakui oleh salah seoang guru di SK Nanga Melipis, Belinda Michael, sambil mendedahkan anak-anak didiknya sentiasa mempunyai semangat tinggi untuk hadir ke sekolah.

“Tersentuh juga melihat kesungguhan mereka untuk menimba ilmu dan sokongan ibu bapa yang jitu untuk memastikan anak mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya,” katanya.

 

Cikgu Mohd Ridzuan memaklumkan anak muridnya mempunyai semangat yang tinggi dalam menimba ilmu. Foto: TVS

Pendapat serupa diakui Cikgu Mohd Ridzuan bahawa matlamat pelajar di luar bandar kini seiring dengan mereka yang berada di bandar.

“Pelajar luar bandar dan bandar mempunyai matlamat yang sama iaitu mahu menimba ilmu agar beroleh kejayaan supaya dapat membantu keluarga kelak. Jadi kalau boleh di pedalaman ini kita tidak mahu ada jurang di antara pembangunan di luar bandar dan bandar,” ujarnya.

Oleh yang demikian beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak kerana menyediakan bekalan elektrik secara 24 jam ke kampung di Melipis, dan membekalkan tenaga solar hibrid untuk SK Nanga Melipis.

“Kemudahan ini amat memberi makna buat kami di sini termasuk penduduk kampung juga,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, penyandang kerusi Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mendedahkan perkhidmatan feri bakal disediakan di Melipis.

Menurut calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu lagi perkhidmaatan sedemikian diyakini akan memudahkan perhubungan para pelajar, guru dan penduduk setempat di beberapa buah rumah panjang selepas ini.

 

Dato Sri Alexander Nanta Linggi memaklumkan salah satu usaha kerajaan untuk membantu pelajar, guru dan penduduk Melipis mendepani cabaran. Foto: TVS

“ Projek pembinaan jeti feri kini berada dalam proses penilaian pada peringkat akhir yang saya jangkakan akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya ketika melawat ke Rumah Rambor Nanga Melipis, Kapit pada petang Rabu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.