PRU-15: Misi kesemua calon GPS menang bergaya

Spread the love

LIMBANG, 10 Nov : Hasrat pemilihan kesemua 31 calon  Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan  Raya Umum Ke-15 (PRU-15) merupakan misi untuk menang bergaya pada 19 November ini.

Calon GPS bagi Kerusi Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah optimis sasaran mampu dicapai berbekalkan kejayaan cemerlang parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) tahun lalu iaitu memenangi 76 daripada 82 kerusi.

Hasbi berkata kemenangan itu amat penting untuk GPS dan Sarawak dalam memastikan hak dan kepentingan negeri ini terus diperjuangkan.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengatakan tempoh hari semasa memberikan watikah kepada saya dan rakan-rakan lain, bahawa beliau menyampaikan watikah berkenaan untuk kami memperoleh kemenangan serta bukan hanya bertanding sahaja tetapi mesti menang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian di Program Sumbangan Beras, Berasku Berasmu, Anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Daerah (PBSM) Limbang di Dewan Bunga Raya semalam.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu menambah sokongan rakyat perlu pada PRU-15 ini dalam memastikan parti terus utuh bertahan serta kuat memperjuangkan kehendak dan suara Sarawak.

Menyifatkan GPS berjaya mengeluarkan ‘taring’ dalam meneraju Sarawak serta lantang memperjuangkan hak negeri ini meskipun berdiri sendiri.

“Sekarang ini GPS sendiri tidak perlu lagi cari Semenanjung Malaysia, GPS tidak perlu cari orang lain, semua kita kepunyaan Sarawak,” ujarnya mengulangi kejayaan PRN-12 bukti GPS diterima baik oelh rakyat Sarawak.

Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, Dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr  Abdul Rahman Ismail  dan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Limbang Chew Sing Liang. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.