Kerajaan Sarawak peruntuk lebih RM300 juta untuk tambah baik sistem bekalan air di Daro

Spread the love

DARO, 10 Nov: Sebelas projek bekalan air berimpak tinggi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak bernilai sekitar RM340 juta yang telah siap, sedang dan bakal dilaksanakan adalah bertujuan untuk menambah baik infrastruktur dan sistem bekalan air di Daerah Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata projek-projek bekalan air ini telah dirancang dengan teliti oleh kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.

Menurutnya, setakat ini tiga projek rakyat yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak bernilai sekitar RM13.8 juta telah siap dilaksanakan dan berjaya menangani beberapa isu bekalan air di beberapa kawasan di kawasan Daro.

Manakala empat projek bernilai sekitar RM39 juta masih lagi dalam peringkat pembinaan dan menunjukkan prestasi kerja yang memberangsangkan walaupun sebelum ini menghadapi cabaran pelaksanaan berikutan penularan COVID-19.

Namun demikian, JBALB Sarawak bersama para kontraktor projek mengambil langkah sewajarnya agar projek bekalan air berkenaan dilaksanakan mengikut jadual.

Sehubungan itu penduduk daro kini boleh menarik nafas lega apabila tangki aras tinggi baharu di Kampung Panchor Daro bernilai RM8 juta telah siap.

Projek menaik taraf sistem bekalan air Daro tersebut dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Unit Integriti dan Ombudsman Negeri) Datuk Dr Juanda Jaya, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Ir Chang Kuet Shian

Safiee berkata lagi, projek tersebut dilaksanakan untuk menambah baik sistem bekalan air sedia ada serta memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan daro.

“Saya lihat (masalah bekalan air) memerlukan pendekatan yang menyeluruh sebab itu kita berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana pada peringkat awalnya memperuntukkan lebih RM2 bilion untuk menyelesaikan masalah air di Sarawak termasuk di kita di Daro,” katanya.

Bagi menjamin bekalan air yang lebih baik dan berterusan di daerah Daro, JBALB Sarawak akan terus memantau dan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan mengikut jadual dan memenuhi piawaian.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada sistem grid bekalan air Sarawak yang dilhamkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.

Sementara itu, Awang Tengah Ali Hassan mahu GPS menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dengan kejayaan itu suara Sarawak di Parlimen nanti akan lebih lantang dan kuat demi memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak.

“Melalui kemenangan besar kita, suara kuat kita dapat memperjuangkan hak. Rakyat berhak untuk menerima peruntukan yang besar dari kerajaan Persekutuan terutama untuk membiayai projek-projek kemudahaan asas terutama elektrik, air, telekomunikasi dan sebagainya,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.