Getaran Jiwa: Para peserta episod keempat teruja tunjuk bakat nyanyian

Spread the love

KUCHING, 10 Nov: Pentas Getaran Jiwa episod keempat pada Jumaat ini bakal dihangatkan dengan persembahan lapan lagi peserta.

Seorang pelajar ijazah sarjana kaunseling dan juruteknologi makmal perubatan, Mohd Safri Bujang, selain mempunyai kebolehan menari rap dan berlakon, dia yang bekerja sendiri menanam azam agar dipilih ke peringkat separuh akhir.

“Harapan saya mestilah ingin ke peringkat separuh akhir tetapi andai tiada rezeki untuk mara, tidak mengapa,” katanya kepada TVS.

Sementara itu, Mohd Zain Jaafar yang berkhidmat sebagai juruteknologi makmal perubatan di Sibu selama 10 tahun menyatakan harapannya untuk menonjolkan bakat di platform pentas nyanyian selain ingin mara ke peringkat seterusnya.

Zain berdarah kacukan Iban dan Melayu pernah menyertai beberapa pentas nyanyian besar seperti Bintang Kecil, Bintang Asli Remaja, Bintang P.Ramlee, dan Bintang Irama Malaysia Kebangsaan.

“Saya berharap agar saya boleh mara ke peringkat seterusnya dan pada masa sama saya ingin menonjolkan bakat di platform besar seperti di kaca TV,” katanya.

Dalam pada itu, aktif memuat naik video nyanyian di media sosial dan cenderung kepada muzik genre R&B tidak menghalang penyanyi sambilan Mohd Nabawi Nadhar Idrus untuk bertanding di pentas Getaran Jiwa yang memerlukan peserta mendendangkan lagu zaman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma.

“Harapan saya mestilah ingin memenangi Getaran Jiwa. Semoga rancangan Getaran Jiwa ini akan diketahui ramai,” katanya.

Sherry Dunstan, seorang pelajar Ijazah Sarjana Kaunseling di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang juga aktif dalam bidang teater berharap dapat melakukan yang terbaik sehingga menjadi finalis Getaran Jiwa.

Sherry pernah mewakili universiti ke United Kingdom untuk persembahan makyung.

“Saya harap saya boleh menjadi finalis dan melakukan yang terbaik untuk Jumaat ini,” katanya.

Para peserta ini merupakan antara lapan peserta yang akan merebut dua lagi tempat ke separuh akhir.

Bersiaran dari Stadium MBKS, Bintawa di sini, program realiti nyanyian terbitan TVS ini juga disiarkan secara langsung menerusi TVS saluran 122 Astro dan MYTV pada pukul 8.45 malam.

Konsert Getaran Jiwa kali ini bakal menampilkan penyanyi terkenal tanah air Liza Hanim sebagai juri jemputan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.