Budaya integriti tonggak utama Sarawak maju menjelang 2030 – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 10 Nov: Budaya integriti merupakan satu tonggak yang menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri dan negara, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tegas beliau kerajaan Sarawak percaya matlamat membudayakan integriti akan membentuk tadbir urus amalan korporat yang baik selaras dengan visi untuk bergelar negeri maju menjelang 2030.

Menurut beliau sekiranya integriti tidak diamalkan, secara tidak langsung akan memecahbelahkan politik, ekonomi serta kekuatan sosial sesebuah negara.

“Integriti yang lemah boleh membawa kepada tadbir urus yang buruk dan membawa ke arah kegagalan prestasi ekonomi,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) 2022, di sini, hari ini.

Dana kekayaan berdaulat beri manfaat kepada penjawat awam

Abang Johari turut menambah, banyak kajian telah menunjukkan bahawa apabila tadbir urus yang lemah, pelaburan domestik dan pertumbuhan turut terjejas.

“Di dalam dunia di mana pihak kapitalis menjadi lebih mudah berinteraksi, ia menunjukkan peningkatan gejala rasuah menjejaskan keyakinan pelabur dan memberi kesan buruk kepada aliran masuk kapitalis,” ujarnya.

Justeru, tegas Abang Johari sebagai usaha untuk mencapai matlamat dan menghapuskan rasuah, pelbagai langkah pencegahan dilaksanakan termasuk menubuhkan mekanisme terbaik bagi memastikan kepentingan awam terpelihara.

Sementara itu, Abang Johari berkata penjawat awam Sarawak bakal meraih manfaat daripada dana kekayaan berdaulat yang akan diperkenalkan oleh kerajaan negeri menerusi satu rang undang-undang, djangka dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri bulan ini.

Faedah yang ditawarkan kepada kakitangan perkhidmatan awam menerusi dana itu akan mengambil kira syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya, walaupun sebelum ini beliau menyatakan kemungkinan untuk meningkatkan kuantum gaji petugas perkhidmatan awam, perkara itu perlu dikaji dengan teliti.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan sewenang-wenangnya mewujudkan jawatan atau sistem penggajiannya sendiri serta faedah pencen, tanpa mengikut ketetapan di bawah perkhidmatan awam Persekutuan, memandangkan semua jawatan berpencen adalah di bawah bidang kuasa JPA.

“(Namun) saya akan memperkenalkan dana kekayaan berdaulat kita yang turut meliputi dana wakaf dan saya harap jika kita dapat pulangan yang baik, ekonomi kita kukuh, kedudukan kewangan kukuh, pastinya kita boleh kongsikan faedah itu dengan penjawat awam. Itu niat saya. Doa saja,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.