PRU-15: Perancangan kerajaan Sarawak di landasan yang tepat

Spread the love

KUCHING, 9 Nov: Teras keenam manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) memfokuskan kerajaan Sarawak mahu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Ir Aidel Lariwoo berkata, pertumbuhan ekonomi akan menjadi landasan untuk membangunkan infrastruktur asas seperti pengangkutan jalan raya, jambatan, pelabuhan dan lapangan terbang.

Menurut beliau ketika ini perancangan kerajaan Sarawak sedang berada di landasan yang tepat berikutan strategi kerajaan mengutamakan projek infrastruktur yang penting bagi menghubungkan kawasan bandar ke kawasan luar bandar sekali gus merancakkan perkembangan ekonomi.

“Saya dapat melihat aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang begitu berpandangan jauh  terutamanya pembangunan asas seperti jalan raya dan jambatan yang menjadi asas kepada pembangunan di Sarawak,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong itu berkata demikian dalam program bual bicara Malaysia Decides terbitan TVS di sini, hari ini.

Memberi bayangan bahawa sebuah projek pembinaan jalan raya di sesebuah kawasan juga membolehkan kemudahan lain turut dibawakan ke lokasi terlibat.

“Apabila satu jalan dibangunkan sudah tentu kemudahan bekalan air dan elektrik dapat dihubungkan serta harga tanah sekitarnya akan melonjak tinggi juga hingga melibatkan pelbagai pembangunan lain,” jelasnya.

Pada masa sama, kata Ir Aidel strategi berkenaan seterusnya berupaya meningkatkan kesalinghubungan di kawasan bandar dan luar bandar.

“Sekali gus merangsang daya saing industri bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan semasa, tetapi juga untuk menarik pelaburan baharu dan inovasi serta mentransformasi industri sedia ada yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi yang tinggi demi masa depan rakyat Sarawak,” tegasnya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.