PRU-15: Gengster minta bayaran pasang bendera politik kena cekup

Spread the love

GEORGE TOWN, 9 Nov: Seorang lelaki ditahan polis selepas mengaku gengster dan meminta bayaran bagi pemasangan bendera kempen di sebuah bilik gerakan parti politik di Jalan Padang Tembak, Air Hitam di sini semalam.

Suspek ditahan sejurus polis menerima laporan daripada wakil Barisan Nasional (BN).

Difahamkan, suspek pergi ke Bilik Gerakan BN Parlimen Bukit Bendera kira-kira pukul 4.30 petang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, suspek yang tidak dikenali itu memberitahu dia merupakan gengster yang menjaga kawasan di sekitar Air Hitam.

“Suspek memberitahu pengadu, jika mahu membuat pemasangan bendera parti di kawasan itu perlu mendapatkan kebenaran daripadanya terlebih dahulu dan dikehendaki membuat bayaran.

“Jika tidak, suspek akan membuat gangguan dan menyuruh orang-orangnya membuat kacau di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Parlimen Bukit Bendera menyaksikan pertembungan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Antara calon tersebut ialah Syerleena Abdul Rashid dari Pakatan Harapan (PH) Teh Yee Cheu (Parti Rakyat Malaysia), Hng Chee Wey (Perikatan Nasional), Richie Huan Xin Yun (BN) dan Mohd. Razalif Zain (Bebas).

Pada PRU-14, calon PH Wong Hon Wai menang dengan majoriti 40,731 undi apabila memperolehi 50,049 undi mengalahkan calon BN, Andy Yong Kim Seng (9,318) dan calon Parti Bersama Malaysia (339 undi). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.