Pendidikan yang lebih berkualiti kepada generasi muda-Abang Johari

Spread the love

MIRI, 9 Nov : Sektor pendidikan di dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dititikberatkan bagi menghasilkan bakat dan tenaga kerja dalam pelbagai bidang bermula daripada usia yang muda.

Kerajaan Sarawak akan memperbaharui modal dan dasar pendidikan tersendiri dalam memberi pembelajaran dan pendidikan  yang lebih berkualiti kepada generasi sekarang dan akan datang.

Hasilkan bakat dan tenaga kerja melalui sektor pendidikan

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan harapannya untuk melahirkan bakat-bakat di Sarawak dalam usaha menjadikan Sarawak negeri yang membangun menjelang 2030.

“Seperti sedia maklum, Sarawak mempunyai dasar jangka panjang di bawah PCDS 2030. Salah satu sektor penting ialah pendidikan di mana kita ingin melahirkan bakat-bakat dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Pembangunan bakat sangat penting kerana ini merupakan pendekatan untuk kita membangunkan Sarawak dan itulah sebabnya dalam usaha kita untuk menjadi negara maju, pada masa 2030, kita memberi bantuan dan penekanan terhadap pendidikan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pembukaan Riam Hill International Secondary School di sini, semalam.

Ujarnya, pembangunan bakat ini penting bagi membentuk tenaga kerja yang baharu memandangkan ekonomi dunia sekarang sudah berubah disebabkan oleh perubahan iklim.

“Pada saya apa yang penting adalah untuk mengembangkan bakat kita. Kita kini berada dalam peralihan dalam ekonomi dunia kerana perubahan iklim dan kita sangat bernasib baik kerana mempunyai sumber.

“Kita mempunyai apa yang kita panggil sebagai ekonomi hijau. Kita mempunyai air dan kita hanya menggunakan air untuk menghasilkan hidrogen dan oksigen. Kini kita sedang mencipta proses, inovasi untuk memisahkan hidrogen dan oksigen melalui membran baharu yang memerlukan tenaga elektrik yang kurang,” tambahnya lagi.

Melihat kepada keperluan sebegini, Kerajaan Sarawak menyedari kepentingan subjek pendidikan Sains seperti biokimia bagi pelajar di Sarawak supaya mereka dapat menyumbang untuk menghasilkan produk baharu dari gas, amomia dan sebagainya untuk kepentingan Sarawak akan datang.

Premier Sarawak percaya Riam Hill International Secondary School dapat menghasilkan para pelajar yang berbakat dan berpendidikan tinggi sekali gus akan memberi sumbangan bagi membangunkan negeri Sarawak.

Hal ini kerana penubuhan sekolah antarabangsa seperti Riam Hill International Secondary School menggunakan silibus pembelajaran dari Cambridge yang telah diiktiraf di seluruh dunia di mana peluang lepasan pelajar sekolah ini meneruskan pelajaran ke universiti yang berprestij di dunia lebih tinggi.

Kerajaan Sarawak juga akan menambah lebih banyak sekolah antarabangsa yang lebih dekat dan berkemampuan untuk rakyat tidak kira latar belakang dan pendapatan keluarga agar mereka berpeluang menimba ilmu dan mencapai masa depan yang cerah. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.