PRU-15: Landskap Limbang bakal berubah dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan

Spread the love

LIMBANG, 9 Nov: Penduduk Limbang meletakkan harapan tinggi pada manifesto yang dilancarkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat mengubah landskap bandar Limbang, serta kampung-kampung di utara Sarawak itu.

Menurut Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Meritam Limbang, Embran Ahmad, 50, projek pembangunan penting bagi melengkapkan kawasan luar bandar dengan pelbagai infrastruktur yang diperlukan oleh rakyat.

Embran ketika ditemui TVS

“Saya suka manifesto yang berteraskan kepada transformasi luar bandar, yang mana kalau kita lihat ia sudah tentu akan dikaitkan dengan empat perkara iatu pendidikan, ekonomi, sukan dan kesihatan.

“Pendidikan penting kerana ia demi masa depan generasi pelapis, selain  membantu memajukan kampung-kampung dengan pendidikan yang diperoleh.

“Manakala kesihatan, saya ingin cadangkan, kalau boleh bangunkan klinik desa di Kampung Meritam ini, kerana sebelum ini kami hanya ke Batu Danau untuk mendapat rawatan. Kalau ada klinik desa di sini saya pasti ia bukan sahaja memudahkan penduduk setempat malah memendekkan masa perjalanan,” katanya kepada TVS.

Sementara itu, bagi Latip Brahim  berharap kerajaan akan melaksanakan pembangunan berterusan di Limbang.

Latip Brahim ketika ditemui TVS

“Syukur manifesto telah dilancarkan, apa yang saya harap kerajaan akan terus membangunkan daerah Limbang ini demi kesenangan rakyat,” katanya

Bagi Roslan Garip, 34, dia bersyukur kerana kerajaan Sarawak sangat mengambil berat akan nasib rakyat di luar bandar.

Justeru, dia berharap pembangunan luar bandar akan dilaksanakan seiring dengan bandar-bandar maju yang lain.

“Dunia semakin moden, jadi saya harap apa yang orang lain ada, kami penduduk kampung juga ada.

“Saya harap pembangunan yang berlaku nanti  sama seperti bandar-bandar maju lain seperti Kuching ataupun Miri,” katanya.

Roslan Garip ketika ditemui TVS

Pada 6 November lepas, GPS telah melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan menjadi tunjang kemakmuran Sarawak.

Manifesto itu terkandung 64 halaman dengan intipati satu hala tuju, lima tonggak utama, 25 teras dan 215 komitmen bagi jaminan masa depan Sarawak yang maju dan gemilang. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.