Jambatan baharu Lawas rancakkan pembangunan di kawasan Utara

Spread the love

LAWAS, 9 Nov : Projek pembinaan jambatan baharu Lawas mencapai 2.3 peratus pelaksanaannya setakat ini, lebih awal dari yang telah dijadualkan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datu Ismawi Ismuni.

Beliau menyifatkan projek itu akan merancakkan lagi pembangunan di Lawas dan juga di kawasan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

“Ia akan memberi impak yang begitu besar sekali khususnya untuk usaha kerajaan meningkatkan lagi taraf hidup rakyat di kawasan NRDA.

“Pembinaan projek ini akan mengambil masa 32 bulan bermula daripada 26 Mei tahun ini dan dijangka siap pada 25 Januari 2025,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Jambatan Baharu Bandar Lawas, di sini, semalam.

Menurutnya, projek ini dianggarkan memakan kos sekurang-kurangnya RM150 juta, skop projek merangkumi jambatan sepanjang 642 meter selebar 12.4 meter di mana ia dilengkapi dengan empat menara gerbang, kabel gantung dan lampu hiasan LED.

“Di samping itu, jalan masuk ke jambatan sepanjang 1.1 kilometer turut dibina, reka bentuk jambatan tersebut merupakan ilham daripada Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, apabila siap kelak ia akan jadi mercu tanda di Lawas,” tambahnya.

Untuk rekod, projek berkenaan merupakan salah satu daripada 168 projek infrastruktur di bawah NRDA yang diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion oleh Kerajaan Sarawak bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur di wilayah Limbang dan Lawas.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, selain projek jambatan Bandar Lawas, NRDA juga sedang melaksanakan beberapa projek mega.

Menurutnya,pembinaan lapangan terbang baharu Lawas dan Lebuhraya Pesisir Utara sepanjang 86 kilometer dijangka bermula pada suku pertama dan kedua tahun depan.

“Lebuhraya Pesisir Utara, yang dahulunya dikenali sebagai Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2, akan menjadi laluan dua lorong empat lorong yang meliputi bahagian Limbang dan Lawas.

“Pertama akan kita laksanakan bagi tumpuan menambah baik jalan perhubungan di Lawas-Limbang supaya ia dapat menghubungkan seluruh negeri kita sehingga ke Sabah terus ke sempadan Indonesia,” katanya.

Kerajaan negeri, katanya lagi, sedang menyegerakan pembangunan infrastruktur demi memajukan ekonomi negeri yang akhirnya membantu meningkatkan pendapatan rakyat. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.