Inovasi produk alternatif daripada gula apong – Mohammad Razi

Spread the love

BETONG, 9 Nov:  Pengusaha gula apong di Kampung Buda, Saribas disarankan menginovasi produk alternatif daripada gula apong.

Hasrat berkenaan kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam bertujuan untuk mengangkat produk tradisional itu ke pasaran lebih meluas.

“Ketika ini saya lihat rata-rata pengusaha gula apong hanya menghasilkan pati gula apong sebagai produk akhir mereka,” katanya.

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Agro Biz (Gula Apong) di Betong di sini, semalam.

Menurut Mohammad Razi, kebolehupayaan pengusaha gula apong dikawasannya menghasilkan produk lain berdasarkan pati gula apong seperti kuih-muih atau manisan bukan sahaja mengangkat nama kampung namun pada masa yang sama merangsang sosioekonomi setempat.

Inisiatif pengusaha gula apong di kawasannya untuk memasarkan produk unik itu menjadi produk alternatif lain jelas Mohammad Razi tidak hanya berada di sisi jalan kampung ekoran kerajaan Sarawak telahpun mengambil inisiatif menubuhkan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah awal tahun ini.

“Penubuhan ini telah mendapat sokongan sebulat suara para ADUN dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang lalu,” ujarnya.

Maka dengan ini ujar beliau, kerajaan Sarawak optimis menyediakan perancangan untuk mengangkat gula apong ke tahap yang lebih tinggi dari masa ke masa.

Dalam perkembangan sama, beliau juga meminta pengusaha gula apong setempat untuk memanfaatkan pusat pemprosesan yang dibina oleh Jabatan Pertanian Sarawak khusus di kawasan berkenaan.

Mengakui timbul kekangan bagi pengusaha gula apong melakukan pemprosesan di pusat yang disediakan ekoran produk asli Sarawak itu harus diproses terus berhampiran pokok Nipah, Mohammad Razi juga mencadangkan pusat pemprosesan itu turut berfungsi sebagai hab pertanian.

“Di sini (pusat pemprosesan) juga boleh dijadikan pusat komuniti para pengusaha berkumpul untuk berbincang sesama sendiri bagaimana penerokaan gula apong menjadi produk alternatif lain,” katanya bahkan hab pertanian ini juga boleh dijadikan sebagai gerai jualan gula apong mereka kerana lokasinya berada di tepi jalan utama.

Memetik contoh kedatangan orang luar seperti persatuan wanita dari Santubong pada minggu lalu ke hab pertanian itu, Mohammad Razi memperlihatkan kejayaan lokasi itu sehinggakan stok gula apong yang sedia ada dijual tidak mencukupi.

“Oleh itu, saya berharap gula apong dari Kampung Buda diusahakan dalam pelbagai bentuk produk dan jangan hanya pati gula apong sahaja seperti sekarang,” tegasnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Belia & Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.