DUN Pantai Damai catat peningkatan 17,000 pemilih baru dengan Undi18

Spread the love

KUCHING, 9 Nov: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai menyaksikan pertambahan jumlah pengundi kepada 37,527 bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding 20,600 pada tahun sebelumnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dato Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, 17,000 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia 18 hingga 21 tahun susulan pendaftaran automatik Undi18.

“Seramai 10,000 pemilih adalah dalam kalangan individu berumur 22 tahun ke atas yang akan mengundi buat pertama kali dan juga mereka yang didaftarkan secara automatik.

“Pertambahan angka pada bilangan pemilih di kawasan kita adalah salah satu sebab untuk kita pastikan mereka turun mengundi dan menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Operasi PRU15 Pantai Damai berkata demikian semasa berucap pada majlis Gerak Gempur Jentera PRU15 Gabungan Parti Sarawak (GPS) – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N4 Pantai Damai di sini pada hari Selasa.

Daripada kajian analisis yang dijalankan selepas Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) lalu, pihaknya mendapati bilangan undi yang akan diraih oleh calon akan meningkat sekiranya lebih ramai yang akan turun mengundi.

Majlis menyaksikan Dr Abdul Rahman bersama calon GPS di P193. Foto: TVS

Katanya, ini adalah salah satu kaedah untuk calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri menang besar.

Terdahulu, majlis menyaksikan Dr Abdul Rahman bersama calon GPS itu menyerahkan bendera parti kepada jentera-jentera parti dari N4 Pantai Damai. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.