SIRIM lancar Makmal Dapur Gas Domestik di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 8 Nov: Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) melancarkan Makmal Dapur Gas Domestik di Kompleks SIRIM Sarawak di Demak, hari ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, kewujudan makmal itu membolehkan peralatan memasak elektrik dapat diuji dan dinilai di dalam negeri ini.

“Saya menggesa para pengiat industri di negeri ini terutama pengimport barangan Dapur Gas Domestik agar melakukan ujian produk mereka di Kuching, Sarawak tanpa perlu menghantar ke Semenanjung Malaysia lagi,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Makmal Domestik SIRIM di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Julaihi menghargai inisiatif SIRIM mengira jejak karbon daripada produk industri membantu Sarawak melestarikan alam sekitar seiring perancangan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.

“Inisiatif agensi berkenaan dilaksanakan melalui Kalkulator Karbon SIRIM yang akan membantu Sarawak mengesan pencemaran alam sekitar di negeri ini,” ujarnya.

Menurut Julaihi, pelaksanaan seumpama itu dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Lestari Sarawak yang dirangka oleh kerajaan negeri untuk membimbing semua agensi kerajaan, swasta dan komuniti merealisasikan hasrat negeri ini bergelar negeri maju dalam tempoh lapan tahun mendatang ini.

“SIRIM sebagai sebuah agensi yang sangat proaktif dalam pembangunan pelbagai industri di Sarawak meliputi industri besi, kayu, elektrik, minyak dan gas,” katanya sambil optimis kerjasama antara SIRIM dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi akan menyumbang pembangunan ekonomi Sarawak.

Hadir sama ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad, Dato Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir. –  TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.