Sarawak lantang memperjuangkan hak di Parlimen

Spread the love

KUCHING, 8 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat sangat lantang memperjuangkan hak dan keistimewaan Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Parlimen, kata Dr Nur Aida Kipli.

Perkara ini diakui oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak Kampus Samarahan itu menerusi program bual bicara Malaysia Decides.

Beliau menyatakan GPS mampu mengembalikan semula hak Sarawak seperti pindaan perlembagaan yang meletakkan perkara MA63 di dalam perlembagaan dan seterusnya menjadikan Sarawak dan Sabah menjadi wilayah yang sah.

Siaran Langsung #MalaysiaDecides | Perjuangan Hak Rakyat Sarawak hari ini.

“Kerajaan Sarawak ini sangat lantang untuk menyatakan perkara yang benar dan mendapatkan hak Sarawak semula,

“Jika dibandingkan dengan negeri lain, kita sudah berada di hadapan kerana GPS adalah sebuah parti yang kukuh dalam permuafakatan dan perpaduan,” katanya.

Tegasnya, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah seorang pemimpin yang bijak serta berwawasan dan tahu apa yang dimahukan oleh orang Sarawak.

“Perwakilan parlimen Sarawak berani bersuara di dalam Parlimen hingga menyebabkan Sabah mula untuk bersuara bagi mendapatkan tuntutan-tuntutan yang sewajarnya,” ujarnya.

Setelah melihat tuntutan Sarawak dipenuhi oleh kerajaan Persekutuan, kata Dr Aida ia mengorak langkah untuk kerajaan negeri mula meminta beberapa hak dan keistimewaan Sarawak yang lain.

Oleh itu kata beliau, kerajaan Sarawak mahu sokongan padu oleh rakyat bagi merealisasikan tuntutan serta memperjuangkan hak-hak yang termaktub dalam MA63 daripada kerajaan Persekutuan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.