PRU-15: Abang Abdul Halil dijangka hilang ‘wang cengkeram’ sekali lagi

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 8 Nov: Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) Kota Samarahan akan bekerja keras bagi memastikan calon Pakatan Harapan (PH) dari parti AMANAH, Abang Abdul Halil Abang Naili yang mencuba nasib bertanding di kerusi Parlimen Kota Samarahan yang merupakan kawasan ‘kubu kuat’ GPS hilang wang cengkeram sekali lagi.

Pengarah Pilihan Raya GPS Kota Samarahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kali keempat calon pembangkang itu bertanding walaupun sudah hilang wang cengkeram sebanyak tiga kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Pengarah Pilihan Raya GPS Kota Samarahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

“Abang Abdul Halil bukan asing lagi bagi penduduk tempatan di kerusi Parlimen Kota Samarahan, ini kali keempat dia bertanding pada pilihan raya.

“Sebelum ini dia pernah bertanding di Sibu, Kuching dan Kota Samarahan tetapi ketiga-tiganya dia hilang wang cengkeram, kali ini kita harap dia akan hilang wang cengkeram lagi,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya  GPS Kota Samarahan di Pusat Beli-Belah The Summer di sini, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu ialah calon GPS bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan, Dato Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Stakan, Dato Hamzah Ibrahim dan ADUN Muara Tuang, Dato Idris Buang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Dato Hamzah Ibrahim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang

Menjelas lanjut, katanya, untuk memastikan calon parti pembangkang itu hilang wang cengkeram, pengundi dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan mesti keluar beramai-ramai mengundi pada 19 November ini.

“Di sinilah tanggungjawab jentera parti yang terdiri daripada pemimpin parti di peringkat cawangan dan ranting  untuk membantu berkempen agar  pengundi keluar mengundi.

“Biarpun GPS boleh menang besar kita tidak boleh memandang remeh parti lawan, biar kita menang bergaya, jangan menang alang-alang dan tunjukkan kepada parti dari Semenanjung Malaysia masyarakat pelbagai kaum di negeri ini bersatu di bawah GPS ,” katanya.

Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya berkata, PRU15 ini amat penting untuk memilih Kerajaan Pusat dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Ini hanya akan dapat dicapai sekiranya GPS berjaya menyapu bersih 31 kerusi Parlimen yang akan menjadikan suara Sarawak lebih kuat.

“Jadi masa depan Sarawak terletak di tangan rakyat sendiri kerana jika tersilap pilih masyarakat sendiri yang akan rugi,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.