Industri halal di negara ini semakin berkembang

Spread the love

KUCHING, 8 Nov : Industri halal di Malaysia kini semakin berkembang dan sudah menjadi salah satu sumber kekuatan ekonomi negara.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali, Malaysia telah mengekalkan tempat teratas bagi sembilan tahun berturut – turut mengatasi 81 buah negara lain dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global berdasarkan Laporan Keadaan Ekonomi Islam (SGIE) 2020/21.

“Laporan tersebut menyaksikan Malaysia berjaya menduduki tangga teratas dalam petunjuk bagi sektor makanan halal, kewangan Islam, pelancongan mesra muslim (MFT), farmaseutikal dan kosmetik.

“Malaysia turut tersenarai dalam 10 tangga teratas untuk sektor media dan rekreasi serta ‘Modest Fashion,” katanya ketika berucap dalam Kempen Inisiatif Bajet 2022 Sempena Program Jelajah Halal Malaysia Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak hari ini.

Katanya, pada tahun lalu prestasi eksport halal negara telah mencatat pencapaian yang memberangsangkan di mana terdapat peningkatan sebanyak 19 peratus daripada RM30.5 bilion.

“Jumlah ini mewakili hampir tiga peratus daripada keseluruhan eksport negara, bagi tahun 2022 pula, sehingga bulan Jun, eksport halal negara melonjak kepada RM 30.3 bilion berbanding RM17.3 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2021.

“Kategori produk seperti makanan dan minuman, bahan – bahan halal (halal ingredients), kosmetik dan penjagaan diri, derivatif minyak sawit, industri kimia serta farmaseutikal merupakan penyumbang terbesar kepada eksport halal bagi tahun 2021,”ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan yakin bahawa pasaran eksport negara mampu diperluaskan lagi berikutan pertumbuhan industri halal global yang dijangka akan mencecah USD 2.8 trilion menjelang tahun 2025.

“Industri halal memainkan peranan yang penting dalam memangkin pertumbuhan sekonomi negara.

“Kerajaan telah meletak sasaran yang tinggi bagi industri halal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dijangka akan menyumbang sebanyak 8.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ” tambahnya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.