Grace, wanita Lun Bawang-Kelabit wakil Malaysia ke Mrs Grand International 2022

Spread the love

KUCHING, 8 Nov : Keindahan Sarawak dan keharmonian rakyatnya antara topik yang bakal diketengahkan oleh wanita berketurunan Lun Bawang-Kelabit, Grace Liso-Lim yang mewakili Malaysia ke pentas Mrs Grand International 2022 di Myanmar.

Hasrat Anak Sarawak berusia 42 tahun ini ingin mempamerkan keunikan Bumi Kenyalang di persada antarabangsa agar stigma segelintir pihak tentang rakyat di sini masih ‘tinggal di atas pokok dan masih menggunakan perahu’ dapat dipecahkan.

“Saya mahu orang luar tahu rakyat Sarawak sentiasa bersatu hati walaupun berbeza latar belakang selain saya juga ingin berkongsi bahawa semangat kita untuk tidak berputus asa dan sentiasa berdiri teguh dengan tradisi kita,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Berbangga mewakili Malaysia, Grace menyatakan kejayaannya dinobatkan sebagai Mrs Grand Malaysia 2022 merupakan suatu pengiktirafan untuk suku kaum minoriti di Sarawak.

Walaupun bergelar wanita berkahwin ujar ibu kepada dua anak ini, status tidak pernah menjadi penghalang untuk golongan ibu mengorak langkah memajukan diri.

“Wanita berkahwin juga mempunyai suara untuk mengendalikan dunia dan masih belum terlambat untuk membanggakan diri, keluarga, negeri dan negara tercinta kita,” tegasnya.

Berkongsi lanjut, Grace akui mengharapkan kemenangan berpihak kepada beliau di Myanmar memandangkan kejayaannya bukan milik dirinya seorang namun ia bakal menjulang Sarawak di mata dunia juga.

“Selain itu saya juga mahu menjadi suara yang lantang kepada mereka yang tidak ‘bersuara’ terutamanya mengenai keselamatan peserta pentandingan ratu cantik selama ini,” ujarnya.

Grace kini berada di Myanmar sejak 6 November untuk pertandingan berprestij itu yang bakal berakhir pada 16 November ini.

Terdahulu, Grace dinobatkan Mrs Grand Malaysia 2022 pada April melayakkan beliau mewakili negara ke persada antarabangsa kali ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.