RM3.8 juta disalurkan untuk projek kesejahteraan rakyat di Simunjan

Spread the love

SIMUNJAN, 7 Nov : Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM3.85 juta bagi melaksanakan projek kesejahteraan rakyat di Kampung Ensengei Iban serta enam buah kampung di sini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, pecahan peruntukan berkenaan melibatkan kerja naik taraf rumah panjang di Kampung Ensengei Iban dan untuk membina lorong di kampung – kampung berhampiran.

Kata Abang Johari, bagi projek di rumah panjang, sebanyak RM850 000 akan disalurkan manakala RM3 juta lagi untuk kampung terlibat.

“Oleh itu saya berharap agar dokumen lengkap bagi melaksanakan projek – projek ini dapat disediakan secepat mungkin,”katanya.

Sebahagian penduduk kampung di sekitar Simunjan hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini. Foto Salasiah Safian (TVS)

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tanjung Pisang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.

Ratusan penduduk kampung sekitar hadir pada majlis berkenaan yang turut disertai oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi.

Sementara itu, Abang Johari turut meminta supaya agensi kerajaan negeri sentiasa peka terhadap peruntukan projek pembangunan rakyat yang diumumkan oleh beliau.

“Saya minta Residen untuk menyediakan dokumen lengkap kerana kita tidak mahu orang cakap, Abang Jo lulus tapi tiada,”katanya.

Terdahulu, Awla ketika berucap memohon peruntukan tambahan untuk meneruskan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) termasuk di Kampung Ensengei Iban. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.