PRU-15: Kerja keras pastikan kemenangan besar Parlimen Tanjong Manis – Abdullah Saidol

Spread the love

BINTANGOR, 7 Nov: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Semop tidak memandang remeh kehadiran pembangkang di Parlimen Tanjong Manis sebaliknya, terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB yang juga Ketua Cawangan PBB Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, pihaknya tidak akan mengambil pendekatan sambil lewa dalam menghadapi calon parti lawan itu.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk logistik dan keadaan cuaca yang tidak menentu, perjalanan kempen disusun atur dengan rapi bagi memudahkan calon berjumpa rakyat.

“Parlimen Tanjong Manis melibatkan kawasan lebih 2,000 kilometer persegi dan cabaran kami bukan sahaja dari segi logistik, kami juga akan sentiasa memastikan calon Parlimen kami dapat bergerak dengan selesa melalui penganjuran program kecil berjumpa masyarakat.

“Pada masa yang sama, kita juga memberi penjelasan kepada mereka tentang pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di rumah panjang dan setiap kampung,” katanya kepada media ketika menyertai kempen Calon GPS, Ir Yusuf Abd Wahab di Sungai Sian di sini, semalam.

PBB Semop tidak sambil lewa hadapi tentangan lawan

Abdullah berkata, permuafakatan antara PBB N.42 Semop dan N.41 Kuala Rajang juga sentiasa dititikberatkan bagi memastikan perjalanan kempen berjalan lancar.

Malah katanya, kesempatan itu juga dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberikan penerangan yang lebih jelas kepada rakyat khususnya mengenai pencapaian cemerlang GPS sejak memenangi pilihan raya negeri yang lepas.

“Kita juga memastikan semua jentera parti mematuhi peraturan dan undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak timbul sebarang aduan salah laku dan sebagainya. Bagi setiap poster atau permit perlu mendapat kelulusan pihak berwajib selain sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga walaupun kita sudah di luar era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.

Yusuf menghadapi pertembungan satu lawan satu menentang Zainab Suhaili, 53, yang bertanding di atas tiket Parti Amanah Negara (PAN). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.