Ikon wujudkan kesedaran potensi pertanian komersial

Spread the love

KUCHING, 7 Nov: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah mahu mewujudkan ikon pertanian yang boleh mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa sektor pertanian boleh meningkatkan taraf ekonomi.

Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata pihaknya kini sudah mengorak langkah bagi melahirkan beberapa ikon pertanian dalam masa terdekat sebagai testimoni kepada golongan sasar. 

“Saya mahu mewujudkan ikon pemimpin contoh, misalnya di Serian kita ada satu atau dua ikon, kemudiannya kita wujudkan di setiap tempat (daerah) yang mana mereka ini dapat menjadi teladan dan contoh kepada yang lain.

“Ikon-ikon ini dapat membawa orang lain melihat bagaimana untuk berjaya dalam industri pertanian,“ katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Jalinan Tani 2022 dan Perasmian Pusat Latihan Kemahiran Pertanian Institut Pertanian Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Maclanie Ben @ Martin Ben, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datu Edwin Abit dan Pemangku Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat.

Ikon pertanian akan diwujudkan – Rundi

Sementara itu, mengulas mengenai Karnival Jalinan Tani 2022 beliau berkata ia merupakan satu program bagi pusat bertauliah berkenaan menjalin rangkaian sosioekonomi dengan agensi dan masyarakat sekitar.

Mengenai, Pusat Latihan Kemahiran Pertanian Institut Pertanian Sarawak pula, beliau memaklumkan pusat itu merupakan pusat latihan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang telah dibangunkan di bawah pembiayaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI).

Sebelum ini ia dikenali sebagai Pusat Latihan Pertanian Semenggok dan kini telah dinaik taraf sebagai pusat latihan bagi program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Bidang Operasi Pengeluaran Tanaman. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.