Hubungan dengan PN: Abang Johari akan buat keputusan – Fadillah

Spread the love

KUCHING, 7 Nov: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membuat keputusan mengenai hubungan atau kerjasama gabungan itu dengan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fadillah Yusof berkata ini susulan tindakan PN bertanding di empat kerusi Parlimen iaitu Saratok, Lubok Antu, Bintulu dan Batang Lupar di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata mengikut pemahamannya, PN mahu menjadi ‘kawan’ kepada GPS dan tidak akan bertanding di Sarawak.

“Bila mereka (PN) dah letak calon (di Sarawak)… dalam negara yang demokrasi, GPS akan lawan mereka.

“Kita akan buat keputusan (mengenai hubungan dengan PN) bila sampai waktunya dan kita beri mandat penuh pada Abang Johari untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kempen sempena PRU15 di sini, hari.

GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov manakala pengundian awal 15 Nov. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.