GPS asah bakat kepimpinan dalam kalangan generasi muda – Abang Johari

Spread the love

SIMUNJAN, 7 Nov: Proses melahirkan pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berterusan dengan menampilkan calon-calon muda seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sudah menjadi tradisi GPS memberi peluang kepada calon muda yang berpotensi menjadi pemimpin.

Menurutnya, pengunduran mantan Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan mantan Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim menunjukkan perjuangan seorang pemimpin GPS yang ikhlas untuk parti dan rakyat. 

“Jadi Alhamdulillah selepas kita tengok-tengok keadaannya, kita membuat keputusan supaya wanita dicalonkan di kerusi Parlimen Batang Sadong, iaitu Cik Rodiyah. Adik kakak sekalian, memanglah kita berkehendakkan seorang pemimpin yang kita boleh latih.

“Kalau Dato Sri Rohani beri laluan, kita latih orang muda supaya ada lapisan pemimpin termasuklah orang belia, termasuk wanitanya, termasuk juga orang yang berpengalaman,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tanjung Pisang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata Sarawak boleh sekali lagi menjadi ‘King Maker’ dan memutuskan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri jika GPS menang besar pada PRU-15.

Beliau berkata bagaimanapun, ini hanya boleh dilakukan sekiranya rakyat Sarawak bersatu hati memilih calon-calon GPS di 31 kerusi Parlimen di negeri ini.

Ini adalah untuk menjadikan suara dari Sarawak lantang. Beliau berkata semasa krisis politik negara dua tahun lalu, GPS telah diminta menyatakan sokongan untuk memilih Perdana Menteri selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

GPS kemudiannya memutuskan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri baharu demi kestabilan negara.

Keadaan sama timbul setahun kemudian dan selepas berbincang dengan Ahli-ahli Parlimen GPS, pucuk pimpinan parti memutuskan untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri seterusnya, demi kebaikan Malaysia.

Dari situ, dapat dilihat peranan GPS dalam menentukan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri.

PRU-15 merupakan penyertaan GPS yang pertama dalam pilihan raya umum selepas empat parti – PBB, PRS, SUPP dan PDP keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.