Pembinaan projek Giatmara Limbang akan diteruskan

Spread the love

LIMBANG, 6 Nov: Pembinaan projek Giatmara Limbang yang tergendala ekoran pandemik COVID-19 akan diteruskan perlaksanaannya.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, projek itu bukan projek ‘main-main’.

“Projek ini telah diluluskan dan hanya menunggu kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Sebelum ini, projek pembinaan Giatmara memang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan majlis pecah tanah dengan nilai projek berjumlah RM10 juta tetapi terjejas akibat COVID-19 dan harganya juga telah naik,” kata Hasbi kepada TVS pada Program Pengukuhan Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, pada Sabtu.

Menurutnya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kenaikan harga barang juga merupakan antara faktor kelewatan projek ini.

“Kita tahu fenomena harga barang semua naik di seluruh negara, bukan sahaja projek ini mengalami kelewatan dan kenaikan harga barangan tetapi projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) juga mengalami masalah sama,” ujarnya.

Bagaimanapun Hasbi turut memberi jaminan bahawa projek itu akan tetap dilaksanakan demi rakyat di Limbang.

Terdahulu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya terus memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)  menerusi pembinaan terbaharu Giatmara di Limbang.

Sejajar dengan usia dan peranan Giatmara yang amat signifikan sebagai penyedia teknologi, katanya, kerajaan bersetuju membina kompleks baharu Giatmara bernilai RM10 juta di kawasan yang berkeluasan hampir lima ekar.

Projek pembinaan Giatmara Limbang itu katanya, dijangka siap pada Ogos 2023.

Untuk rekod, Giatmara Limbang beroperasi di Bangunan Pejabat Residen Lama Limbang sejak 2011.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.