Wan Junaidi optimis GPS menang bergaya

Spread the love

KUCHING, 5 Nov : Optimis Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menang bergaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, mantan Ahli Parlimen santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar percaya kesemua 31 calon bakal memperoleh sokongan padu daripda rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) ini turut menzahirkan keterujaan beliau melihat semangat membara barisan calon dan jentera termasuk penggantinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

“Sebagai mantan Ahli Parlimen Santubong saya amat teruja dan saya ingin ucapkan tahniah kepada semua calon yang bakal menunjukkan taring masing-masing bagi merebut kerusi yang dipertandingkan,” katanya menerusi satu hantaran di akaun rasmi Facebooknya hari ini.

Mengulangi kenyataannya kepada media semalam, Wan Junaidi, 77, akan berada di sebelah Nancy sebagai tanda sokongan kepada mantan Ahli Parlimen Batang Lupar itu menyampaikan khidmat di Parlimen Santubong setelah diberikan mandat oleh rakyat pada 19 November ini.

“Saya percaya semua penyokong saya di sini (Santubong) akan menyokong perjuangan Nancy. Kita lawan habis-habisan kali ini. GPS pasti menang!,” tegas beliau.

Terdahulu, beliau menyertai perarakan mengiringi Nancy ke pusat penamaan calon Parlimen Santubong di Institut Kemahiran Mara Kuching di sini, pagi tadi.

Sementara, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut kelihatan menyertai perarakan ‘lautan’ GPS di lokasi sebagai tanda sokongan beliau kepada Nancy bakal bergelar ‘Puteri Santubong’.

Perarakan yang membentuk ‘lautan’ GPS itu juga disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, ADUN Demak Laut, Dr Hazland Hipni dan mantan ADUN Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu. – TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.