PRU-15 : Ismail Sabri berdepan dua pencabar untuk pertahankan Bera

Spread the love

BERA, 5 Nov : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhadapan dua pencabar, masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam misinya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) .

Mewakili Barisan Nasional (BN) dalam saingan tiga penjuru itu, Ismail Sabri yang merupakan penyandang kerusi sejak 2004 ditentang calon Abas Awang (PH-PKR) dan Datuk Asmawi Harun (PN-Bersatu).

Senarai rasmi calon bertanding bagi kerusi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera Datuk Zaman Azam Mohamet Sarif pada 11.23 pagi di Pusat Penamaan Calon, Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri yang sedondon berpakaian biru bersama isterinya Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.55 pagi, ditemani tiga calon BN bagi DUN di bawah Parlimen Bera serta ratusan penyokong parti yang membawa bendera parti sebagai tanda sokongan.

Asmawi dan Abas bersama calon-calon DUN parti masing-masing dan penyokong mereka tiba di pusat penamaan itu pada pukul 8.30 dan 8.50 pagi.

Pada pilihan raya umum 2018, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menang dalam saingan tiga penjuru dengan memperoleh majoriti 2,311 undi, menewaskan calon PKR Zakaria Abdul Hamid yang mendapat 18,499 undi manakala calon PAS Musaniff Ab Rahman memperoleh 8,096 undi.

Berdasarkan daftar pemilih sehingga 9 Okt lepas, seramai 77,669 pemilih layak mengundi di Parlimen Bera pada PRU15, melibatkan 73,860 pengundi biasa, tentera dan pasangan (3,521 pengundi), polis dan pasangan (279 pengundi) manakala pengundi luar negara, sembilan.

Zaman Azam turut mengumumkan pertembungan empat penjuru bagi DUN Guai melibatkan tiga calon wanita iaitu Datuk Sabriah Saidin yang mewakili BN, Nor Hashimahi Mat Noh (PN) dan Noraini Abdul Ghani (PH) serta calon Bebas Jafari Mohd Yusof.  -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.