Pengundi baharu cabaran utama Nancy di Santubong

Spread the love

KUCHING, 5 Nov: Pertambahan jumlah pengundi baharu antara cabaran utama untuk menawan kerusi Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurutnya, peningkatan jumlah pemilih bagi parlimen itu kini adalah 79,540 berbanding 45,628 pemilih pada PRU-14 lalu.

“Ini menjadi satu ujian buat GPS untuk meraih undi pemilih baharu (kerana) setiap pilihan raya bukan mudah terutama sekali pada kali ini kita ada ramai pengundi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengunguman rasmi penamaan calon bagi Parlimen Santubong di Dewan Sri Merpati Institut Kemahiran MARA, Kuching hari ini.

Melihat kepada situasi semasa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu mengharapkan sokongan padu diberikan kepada GPS kerana GPS telah melaksanakan pelbagai perkara yang memanfaatkan untuk Sarawak.

Dalam pada itu, beliau juga merasakan pencalonannya di kawasan parlimen tersebut memberi cabaran buat beliau susulan melihat tanda aras yang telah dicapai oleh mantan ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini adalah tinggi.

Beliau optimis berupaya mencapai penanda aras ekoran bantuan para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang selama ini cemerlang melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Oleh itu, perkara ini menjadi satu panduan untuk menggalas tugas sebagai calon ahli Parlimen Santubong dan saya percaya kita dapat mencapai prestasi yang lebih baik dan berharap kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu boleh diulang,” tegasnya.

Parlimen Santubong menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU-15 iaitu Nancy (GPS),  calon bebas, Affendi Jeman dan calon parti Pakatan Harapan, Mohamad Zen Peli.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Umum Parlimen Santubong, Sofhi Jebal di pusat penamaan calon Parlimen Santubong di Dewan Sri Merpati IKM hari ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.