Semangat dalam diri menjadikan artis Sarawak bersinar

Spread the love

KUCHING, 4 Nov : Kekuatan semangat dalam diri menjadikan artis kelahiran Sarawak unik dan sinarnya sukar diatasi, kata Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris.

Membarisi nama besar seperti Bob Yusof, Dayang Nurfaizah, dan Hafiz Suip menurut Noraniza mereka ini antara contoh anak seni dari Bumi Kenyalang yang menyerlah kerana memiliki kekuatan semangat dalaman.

“Jadi mereka ini ada sesuatu kekuatan dalaman yang agak sukar untuk orang lain mengatasinya dan itu merupakan faktor yang membuat mereka menyerlah,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu raptai Getaran Jiwa hari ini.

Katanya lagi, kekuatan semangat dari dalam melahirkan mereka sebagai satu produk yang berkualiti.

Sementara Noraniza yang mesra dipanggil Kak Ani menasihatkan agar artis kelahiran negeri ini mengangkat budaya dan kesenian tempatan sebagai inisiatif memajukan industri seni di Sarawak.

“Kita tidak perlu malu dengan budaya sendiri kerana budaya itulah merupakan wajah kita dan jika kita dengar lagu hari ini, ramai artis yang menggunakan elemen muzik Sarawak untuk menghasilkan lagu walaupun datang daripada pelbagai genre,” tegasnya.

Bagi Noraniza hasrat mengangkat budaya dan kesenian Sarawak secara tidak langsung telah menjulang seni dan warisan itu sendiri.

Noraniza Idris merupakan juri jemputan bagi konsert Getaran Jiwa pada minggu ketiga yang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) malam ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.