Parti Semenanjung tidak peduli Sarawak – Abang Johari

Spread the love

SIBU, 4 Nov: Tidak ada parti lain dapat melakukan yang terbaik seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mentadbir dan membangunkan Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata parti-parti di Semenanjung Malaysia asyik bergaduh.

“Yang penting Sarawak jaga diri sendiri. Sarawakku Sayang (ertinya) kita sayang dengan Sarawak.

“Parti di Semenanjung sana tidak peduli dengan kita. Parti di Semenanjung bergaduh, tidak ada kerja lain bergaduh hendak menjadi Perdana Menteri,” katanya berucap pada Program Sarawakku Sayang 2022 di Dewan Suarah Sibu, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Abang Johari berkata lagi, kerajaan GPS yang mentadbir Sarawak selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) telah melaksanakan beberapa agenda pembangunan yang bermatlamat menukar Sarawak sebagai negeri termaju di Malaysia pada 2030.

Sarawak berada pada landasan yang betul untuk mencapai status negeri maju.

Menurutnya, pendapatan Sarawak pada tahun ini akan mencecah lebih RM10 bilion berbanding pada satu tempoh terdahulu RM6 bilion.

“Tidak pernah dalam sejarah Sarawak mendapat pendapatan yang sebegitu banyak. Inilah yang GPS lakukan,” katanya.

Amaun sebenar pendapatan untuk 2022 akan dibentangkan Premier pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam November.

Setakat ini, Abang Johari telah menggerakkan 120 inisiatif pembangunan demi manfaat rakyat.

Bukan sekadar bertumpu terhadap pembangunan, tetapi GPS meletakkan  perihal menjaga hak dan kepentingan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia (MA63) sebagai agenda utama.

“Kita telah memperjuangkan hak kita di bawah MA63. Kenapa? Kerana dalam MA63 hak Sarawak hendaklah dipertahankan dan Sarawak mesti maju selari dengan Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari meminta pengundi di Sibu memberi sokongan penuh kepada calon GPS di Parlimen Lanang dan Sibu demi kesejahteraan rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), GPS mengetengahkan Clarence Ting di kerusi Parlimen Sibu dan Wong Ching Yong di Parlimen Lanang. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.