Kapit Lily Pond tumpuan riadah warga Kapit

Spread the love

KAPIT, 4 Nov: Kewujudan Kapit Lily Pond, yang siap pada 2021, banyak memberi manfaat kepada penduduk di Kapit, terutama bagi menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi.

Tinjauan TVS mendapati rata-rata orang awam berpendapat inisiatif kerajaan untuk menaik taraf Kapit Lily Pond merupakan satu usaha yang baik serta memenuhi aspirasi penduduk setempat yang ingin menikmati lebih banyak prasarana yang lengkap untuk beriadah.

Kelimbik Sibat, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Kapit ketika ditemui sedang beriadah di Kapit Lily Pond

Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Kapit, Kelimbik Sibat berkata Kapit Lily Pond kini menjadi salah satu mercu tanda di Kapit yang sering dikunjungi masyarakat setempat dan juga pelancong dari luar Kapit.

“Projek ini telah siap pada hujung 2021 yang menelan belanja RM12 juta. Sekarang kita (Majlis Daerah Kapit) telah menambah baik Kapit Lily Pond ini dengan satu lagi peruntukan baru yang telah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa lawatan ke Kapit baru baru ini.

“Pusat rekreasi ini telah menjadi tumpuan orang-ramai semenjak ia dibina yang memudahkan masyarakat beriadah terutamanya selepas seharian bekerja,” katanya ketika ditemui di Kapit Lily Pond pada Khamis.

Sementara itu, Hafizah Sahari, 31, merupakan pengunjung setia Kapit Lily Pond berkata dirinya sangat berpuas hati dengan kewujudan pusat rekreasi di Kapit yang membolehkan penduduk menikmati pusat riadah seperti yang ada di bandar besar.

Hafizah Sahari, Pengunjung

“Saya berpendapat ini satu usaha yang baik dari kerajaan sebab sebelum ini warga Kapit kekurangan tempat riadah bersama keluarga. Selepas wujud Kapit Lily Pond, kita boleh tengok orang awam dan ibu bapa membawa anak-anak bersiar-siar di sini.

“Saya sendiri hampir setiap hari berkunjung ke sini untuk joging selepas waktu bekerja. Selain itu saya berharap di masa akan datang Kapit akan memilik pusat rekreasi khas untuk belia seperti tempat ‘skateboarding’,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung Nurul Syafiqah, 28, turut menceritakan Kapit kini dilihat semakin membangun dengan adanya jalan penghubung antara daerah yang berdekatan dengan Kapit.

Nurul Syafiqqah, Pengunjung

Beliau turut menyuarakan hasrat untuk melihat penambahbaikan pada perpustakaan awam di Kapit termasuk mengemaskini buku-buku agar relevan untuk rujukan masyarakat pada umumnya.

Untuk rekod, Kapit Lily Pond telah siap dinaik taraf pada Ogos 2021 dengan kos RM12 juta hasil inisiatif kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS)  yang dilengkapi kolam ikan, kafeteria, taman permainan kanak-kanak dan laluan pejalan kaki sepanjang satu kilometer. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.