Jalan raya ke pusat bandar Bintulu kini singkat

Spread the love

BINTULU, 4 Nov : Pembukaan jalan penghubung dari Jalan Johari Sunam ke Jalan Baharu Kemena bermula hari ini memendekkan tempoh perjalanan dari kawasan Jepak dan Lapangan Terbang Bintulu ke pusat bandar.

Selain menyingkatkan tempoh perjalanan kata Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhamad Yakup Kari kemudahan itu turut membantu mengurangkan aliran trafik yang sesak terutamanya di persimpangan Batu 5 dan Jalan Sibiyu Bintulu ke Sibu.

“Dengan jalan raya sekarang, kalau kita hendak ke lapangan terbang dari bandar, jangka masa akan dipendekkan iaitu daripada 30 minit atau 40 minit kepada 20 minit dari bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sila Lalu Jalan Penghubung dari Jalan Johari Sunam ke Jalan Baharu Kemena di persimpangan lampu isyarat Taman Sri Pelabuhan Bintulu dan Jalan Baharu Kemena di sini, hari ini.

Manfaat jalan berkenaan juga katanya sekiranya pengguna jalan raya dari arah Lebuh Raya Pan Borneo mereka tidak akan berdepan dengan kesesakan lalu lintas terutamanya di simpang Jalan Sebiew.

Walaubagaimanapun, beliau menekankan kenderaan berat dilarang melalui jalan tersebut ketika ini sehingga simpang  Jalan Sebiew siap sepenuhnya nanti.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan Asghar Khan berharap jalan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal.

Menurutnya kos pembinaan jalan berkenaan menelan belanja berjumlah RM 70 juta dan merupakan hadiah daripada BDA kepada masyarakat Bintulu. – TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.