PRU-15:Tanggungjawab besar Roy Angau ‘tawan’ semula Lubok Antu

Spread the love

KUCHING, 3 Nov: Calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari Parti Rakyat Sarawak (PRS), Roy Angau Gingkoi, 43, menyifatkan pencalonannya di kerusi Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu digalas untuk menawan semula kerusi itu.

Menurutnya, keupayaan lawan yang bakal ditentang nanti  tidak boleh dipandang rendah sehingga ke garisan penamat.

“Kita tidak boleh memandang rendah keupayaan calon lawan, kita akan pastikan semua pengundi turun mengundi pada 19 November ini, demi memastikan kemenangan GPS, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada Calon-Calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, rakyat sudah mengenali dan bijak menilai penyandang di kawasan tersebut sepanjang empat tahun kebelakangan ini.

“Sekarang ini rakyat inginkan satu perubahan terutamanya kawasan Engkilili kerana kawasan itu telah jauh ketinggalan terutamanya dari segi infrastruktur dan ia berlarutan sejak 2016.

“Kini mereka sedar hanya kerajaan GPS sahaja yang boleh membawa pembangunan di  kawasan Lubok Antu yang terdiri daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili dan DUN Batang Ai,” katanya.

Pada PRU-14, Parlimen Lubok Antu dimenangi Jugah Muyang dari calon Bebas dengan majoriti sebanyak 1,059 undi, menewaskan calon dari PRS yang pada ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) Robert Pasang Alam dan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.