Masyarakat DUN Telian impikan Projek Rumah Spektra Permata

Spread the love

MUKAH, 3 NOV: Masyarakat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telian mengimpikan penyediaan Skim Perumahan Kos Rendah seperti Projek Rumah Spektra Permata yang telah dilaksanakan di kawasan lain di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telian, Royston Valentine berkata, ia bagi menyediakan rumah kediaman bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

“Penyediaan kemudahan Projek Rumah Spektra Permata merupakan satu keperluan masyarakat di sini, berdasarkan statistik dari Data Banci Penduduk dan Perumahan Tahun 2020, pertambahan penduduk di kawasan pinggir bandar seperti DUN Telian yang rata-ratanya dari golongan B40 dan ke bawah amat menagih komitmen pihak kerajaan untuk menyediakan pelbagai jenis kemudahan untuk rakyat.

“Oleh itu, kita memohon agar dipertimbangkan keperluan rakyat untuk memiliki rumah sendiri dengan kos yang lebih murah dan relevan dengan pendapatan mereka,” katanya  ketika berucap di Program Sarawaku Sayang di sini, hari ini.

Royston berkata, pada persidangan DUN yang lalu, beliau telah dimaklumkan oleh kementerian berkaitan bahawa terdapat empat cadangan Skim Pembesaran Kampung yang baru telah diluluskan untuk kawasan Telian yang amat sesuai untuk dibangunkan Projek Rumah Spektra Permata,

“Saya yakin akan lebih banyak pembangunan yang dapat dinikmati oleh rakyat kita selaras dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi digital di wilayah Sarawak ini.

“Saya juga  percaya bahawa dengan tindakan meluluskan pembentukan Lembaga Pembangunan Industri Sagu dan Nipah pada sidang DUN yang lepas oleh Kerajaan Sarawak ia sudah pasti dapat membela nasib pekebun-pekebun kecil rumbia di kawasan Tellian, Balingian dan Dalat khasnya,” katanya.

Katanya, ini kerana sagu merupakan kegiatan tradisi masyarakat Melanau sejak sekian lama dan ia kekal menjadi salah satu industri yang menyumbang kepada pendapatan penduduk setempat, malahan Kerajaan Sarawak secara amnya.-TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.