Khairy sedar BN tidak jadi pilihan di kawasan bandar

Spread the love

KUALA LUMPUR, 3 Nov : Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyedari mereka tidak menjadi pilihan pengundi di kawasan bandar.

Namun demikian, Menteri Kesihatan itu berkata, beliau menyahut cabaran untuk bertanding di kawasan itu yang mempunyai demografi pengundi mewakili seluruh Malaysia.

Kata penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal itu, sekiranya BN mahu ke arah yang lebih baik, mereka perlu berani menawarkan khidmat di kawasan bandar.

“Polisi kita juga akan mengambil kira isu yang dihadapi oleh majoriti rakyat Malaysia di bandar.

“Ini bukan menidakkan pembangunan luar bandar dan pedalaman yang sangat penting dan dilaksanakan.

“Kita jangan anggap yang kehidupan bandar bukan semuanya senang, ini kerana kehidupan di bandar sangat mencabar,” katanya menerusi perkongsian video di Instagramnya.

Katanya, banyak isu masyarakat di bandar perlu diatasi dengan sebaik mungkin melibatkan kos sara hidup, akses kesihatan, kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam, banjir kilat dan sebagainya.

Khairy Jamaluddin ‘dihantar’ oleh BN untuk bertanding di kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Pada 2018, R. Sivarasa menang kerusi itu dengan majoriti 26,634 undi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.