Sia Sitok Sarawak 4.0 dan Sia Sitok Penginapan 3.0 dilanjutkan

Spread the love

KUCHING,1 Nov: Tempoh tempahan Kempen Pelancongan Sia Sitok Sarawak (SSS) 4.0 dan Sia Sitok Sarawak Penginapan (SSSA) 3.0 dilanjutkan sehingga 15 November ini.

Kedua-dua kempen berkenaan dilancarkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) pada 1 September lalu menghidangkan 62 pakej pelancongan untuk rakyat Sarawak dan luar Sarawak menerokai seluruh negeri ini pada musim cuti akhir tahun.

Bertemakan “Discover Sarawak Gems”, SSS 4.0 menawarkan tawaran hebat daripada 35 peratus hingga 50 peratus diskaun bermula lawatan sehari hingga ke perjalanan di pelbagai tempat yang disenaraikan.

Tawaran juga merangkumi lapan pakej pelancongan baharu yang memberi penekanan kepada pelancongan berasaskan komuniti dan produk pelancongan yang bertanggungjawab selaras pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Pakej pelancongan yang baharu termasuk lawatan ke Kedaya Telang Usan untuk menikmati air terjun dan merasai budaya setempat; menikmati pengalaman perkampungan Bidayuh yang lebih mendalam di Saloma Homestay; berpeluang untuk melihat burung Dulit Frogmouth di Ba Kelalan; membuat ekspedisi Belaga yang pasti tidak dapat dilupakan dan melawat Uma Belor, yang mempunyai struktur rumah panjang di Sarawak yang terdiri daripada tujuh blok bersambung; diikuti dengan jejak Rajah Brooke dan melawat Kubu Rentap di Bukit Sadok; menikmati pengalaman yang menarik dengan ekspedisi Julau dan Upriver; menjejak Murum dan melawat Limbang-Lawas Meritam Pasir Lumpur untuk memanjakan diri anda dengan mandi lumpur semula jadi.

Sementara SSSA 3.0 turut menyediakan pakej penginapan yang terbaik dengan potong diskaun sehingga 35 peratus bagi lebih 40 hotel di seluruh Sarawak.

Untuk maklumat lanjut mengenai Sia Sitok Sarawak dan pakej menarik, sila layari laman web rasmi di siasitok.sarawaktourism.com .


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.