IPD Mukah gerakkan 80 peratus keanggotaan untuk PRU-15

Spread the love

MUKAH, 2 Nov: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah akan menggerakkan 80 peratus keanggotaan bagi memastikan keamanan dan kestabilan di lapangan sepanjang musim Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).

Menurut Ketua Polis IPD Mukah, DSP Muhammad Rizal Alias inisiatif ini akan melibatkan 125 pegawai dan anggota polis daripada keseluruhan jumlah pasukan mereka iaitu 143 pegawai dan anggota.

“Antara fokus utama dalam tempoh PRU-15 ini adalah mengiring pegawai pilihan raya, memastikan peti undi dikawal dengan baik dan operasi rondaan 24 jam yang akan dilakukan di kawasan IPD Mukah iaitu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telian dan Balingian.

“Baki pegawai kami, iaitu seramai 18 orang akan ditugaskan untuk tugasan harian,” kata beliau pada Majlis Perasmian Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) IPD Mukah di sini, hari ini.

Pasukan polis IPD Mukah katanya lagi turut dibantu oleh empat orang pegawai penguatkuasa kempen pilihan raya mulai esok, 3 November.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Rizal mendedahkan objektif utama penganjuran LPD adalah sebagai ulang kaji untuk pegawai polis mengenai perkara yang berkaitan dengan pengambilan tindakan dan pertanyaan yang mungkin akan timbul sepanjang tempoh PRU.

Mohammad Rizal juga mengingatkan pegawainya untuk sentiasa berjaga-jaga dan mengambil berat mengenai tugas masing-masing, terutama sekali yang berkenaan keselamatan awam dan tugasan mereka apabila mengendalikan peti undi dan saluran undi pada 19 November nanti.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.