Didik pemimpin muda tentang hak keistimewaan Sarawak

Spread the love

KUCHING, 1 Nov: Pemimpin muda Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dididik mendalami hak dan keistimewaan Sarawak bagi melahirkan pelapis parti yang berwibawa memelihara sumber negeri ini.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Lo Khere Chiang berkata hasrat ini akan membina dasar kepimpinan golongan pelapis kelahiran GPS lebih kukuh dan stabil.

“Kita perlu sampaikan, kita perlu kongsikan, kita perlu didik pemimpin muda mengenai 18 perkara Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), hak dan keistimewaan kita,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan terbitan TVS, Malaysia Decides pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang itu menegaskan semua perkara berkenaan merupakan dokumen-dokumen penting yang menggariskan hak dan keistimewaan setiap warga Sarawak dalam Malaysia.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan sudah menjadi tugas buat pemimpin SUPP untuk menerapkan nilai kesetiaan kepada parti dan negeri.

“Ia adalah tugas semua pemimpin dalam semua parti untuk menerapkan nilai dan memberi panduan kepada pemimpin muda berkenaan cabaran SUPP dan cabaran GPS hari ini untuk Sarawak,” tegasnya. -TVS.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.