Tiga lokasi di Sarikei dilanda banjir kilat

Spread the love

SARIKEI, 1 Nov : Sekurang-kurangnya tiga kawasan termasuk sebuah sekolah rendah di Sarikei dilanda banjir kilat akibat air pasang dan hujan lebat sejak petang semalam.

Antara kawasan yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Adin di Sare selain Bayong dan beberapa penempatan penduduk berhampiran tebingan sungai Kampung Seberang.

Di SK Adin, paras air dilaporkan meningkat mendadak sehingga satu meter mengakibatkan beberapa lokasi di sekitar sekolah berkenaan dinaiki air antaranya, dewan makan, kelas prasekolah, bilik pemulihan dan pagar.

Banjir yang dipercayai bermula pada jam 4.00 pagi, sebelum disedari pengawal keselamatan bertugas dan kemudiannnya memaklumkan kepada seluruh warga sekolah terbabit.

Ketua Balai dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba, Narudin Mahmudin berkata, kejadian hanya berlaku dalam tempoh beberapa jam sebelum kembali pulih kira-kira jam 7.00 pagi.

“Kita menerima satu panggilan daripada guru SK Adin yang memaklumkan berlaku peningkatan paras air di lokasi Sare. Bomba melakukan pemantuan di lokasi berkenaan mendapati pada jam 4.30 pagi, kenaikan paras air setinggi satu meter dan semasa pihak bomba di lokasi, air telah menunjukkan trend menurun,” katanya ketika dihubungi.

Walaupun tiada laporan kemalangan jiwa, namun kejadian yang berlaku dalam hampir tempoh dua jam itu, mencemaskan murid, guru dan kakitangan sekolah terbabit kerana jarang berlaku.

Baca artikel berkaitan di sini >>> Banjir: Penduduk lima kawasan di Bintulu berpindah ke PPS

Bagaimanapun difahamkan, sesi pembelajaran sekolah yang mempunyai seramai 104 orang murid itu tidak terjejas dan diteruskan seperti biasa.

“Bomba sentiasa memaklumkan kepada orang awam atau pihak sekolah, sekiranya berlaku atau hujan lebat kenaikan paras air sentiasa berhati-hati atau berwaspada dan segera memaklumkan kepada pihak bomba untuk tindakan yang selanjutnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung Turut meluangkan masa melakukan tinjauan ke lokasi kejadian. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.