Pupuk budaya integriti dalam kehidupan masyarakat

Spread the love

KUCHING, 1 Nov: Budaya integriti perlu dipupuk dalam kalangan setiap lapisan masyarakat yang merangkumi setiap aspek kehidupan agar dapat memberi kesan kepada individu, komuniti, organisasi dan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, memperkasakan pendidikan integriti dari usia muda yang berteraskan aspek kejujuran, akauntabiliti, tanggung jawab dan sikap saling menghormati akan memastikan masa depan yang mapan untuk generasi akan datang.

Menurutnya, sempena sambutan bulan Integriti Nasional 2022, IIM dengan kerjasama beberapa pihak termasuk sektor awam dan swasta juga akan melaksanakan pelbagai program bagi tujuan memantapkan pembudayaan nilai-nilai tadbir urus, integriti dan anti rasuah. 

“lntegriti Teras Keluarga Malaysia dipilih sebagai tema sambutan Bulan Integriti Nasional 2022 yang disambut pada 5 November setiap tahun, sejak tahun 2005 lagi.

“Tema ini dipilih berdasarkan komitmen IIM sebagai agensi peneraju dalam usaha pemerkasaan dan pembudayaan integriti dan tadbir urus baik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tema itu juga adalah selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tiga teras utama iaitu kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran. 

“Ia turut mencakupi amalan menyemai budaya integriti, budaya amanah, prinsip keadilan dan amalan bermusyawarah dalam membina akhlak mulia seluruh rakyat Malaysia.

“Antara program yang telah dirangka termasuklah penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam:Integriti Jambatan Keberkatan yang akan disiarkan secara langsung menerusi slot rancangan Forum Perdana Ehwal Islam di TV1 pada 3 November 2022 (Khamis), jam 9 malam hingga 10  malam,” ujarnya.

Beliau berkata, IIM juga akan mengadakan Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA 2022) peringkat Kebangsaan pada awal tahun 2023. 

“Penganjuran AIGA 2022 ini merupakan inisiatif IIM yang julung kali diadakan serta bertujuan memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dan kebertanggungjawaban dalam usaha memperkasakan pembudayaan dan pengamalan integriti dan tadbir urus terbaik dalam organisasi masing-masing.

“IIM akan turut terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Integriti bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Telekom Malaysia (TM) Berhad, Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Boustead Holdings Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Beliau turut berharap Bulan Integriti Nasional pada tahun ini akan terus menyemarakkan semangat pembudayaan nilai integriti masyarakat dan nasional seterusnya berupaya merealisasikan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) supaya Malaysia dikenali kerana integritinya dan bukannya rasuah.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.