Projek sakit dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun

Spread the love

KUCHING, 1 Nov: Masalah projek sakit di Sarawak dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun dari sekarang, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Tanpa mendedahkan jumlah keseluruhan projek terbengkalai, beliau berkata kerajaan Sarawak komited menanganinya agar ia dapat memberi manfaat kepada rakyat secepat mungkin.

Langkah yang diambil termasuk menggantikan kontraktor lama yang berdepan masalah dengan melantik kontraktor baharu dalam kadar segera.

“Ia tidak susah untuk dilakukan (kerja-kerja pembinaan) tetapi mungkin ada sebab-sebab tertentu kenapa kontraktor tidak dapat melakukannya.

“Jadi inilah langkah proaktif yang kita (kerajaan) ambil terhadap projek sakit, saya tidak memberitahu berapa jumlahnya, tetapi kita sekarang mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini.

“Ini (langkah) untuk memastikan bahawa semua projek yang dikategorikan sebagai sakit akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembesaran dan naik taraf Jalan Matang di sini, hari ini.

Turut serta, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.

Isu projek sakit selesai dalam tempoh 3 tahun

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata ia penting bagi memastikan setiap projek dilaksanakan siap dalam tempoh yang ditetapkan sekali gus memberi kesejahteraan kepada rakyat.

“Rakyat mengharapkan projek yang dilaksanakan siap dalam tempoh ditetapkan begitu juga kerajaan mahu projek itu berjalan lancar.

“Pertamanya untuk memastikan kita dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan kedua ialah apa sahaja peruntukan dibelanja untuk projek akan memberikan impak kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Ia bukan sahaja melibatkan pembinaan jalan raya tetapi merangkumi semua jenis projek yang menyumbang kepada kesan sosioekonomi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.