PUSAKA ambil alih terminal LPG Bintulu

Spread the love

KUCHING, 2 Nov: PUSAKA Integrated Resources, anak syarikat PUSAKA Capital telah mengambil alih terminal Gas Petroleum Cecair (LPG) Bintulu daripada Petronas Dagangan Berhad (PDB).

Perjanjian yang dicapai melalui Perjanjian Jual Beli bersama PDB ini disifatkan sebagai langkah penting untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan swasta dalam industri minyak dan gas.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengambilalihan itu menjadi batu loncatan dalam memastikan lonjakan ekonomi sektor minyak dan gas di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak mahu menggalakkan kapasiti dan keupayaan syarikat tempatan dalam sektor ini.

“Melalui perjanjian ini pihak sektor swasta juga perlu melibatkan diri secara aktif bagi menggalakkan kepelbagaian dalam industri minyak dan gas,” katanya di Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Terminal Gas Petroleum Cecair (LPG) di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama di antara PUSAKA Capital dan PDB akan memberi manfaat kepada Sarawak selaras dengan Perjanjian Penyelesaian Komersial bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

https://youtu.be/uBW8RUEdpYQ
Petronas setuju beri kontrak O&G kepada syarikat Sarawak

Sebelum ini, Petronas telah bersetuju untuk memberikan kerja-kerja kontrak dalam sektor minyak dan gas yang dijalankan di perairan Sarawak dengan garis asas tahunan RM2.1 bilion kepada syarikat tempatan.

“Jumlah itu akan dinaikkan secara berperingkat bergantung kepada jumlah kerja dan keupayaan sektor swasta tempatan yang dilihat akan meningkatkan penyertaan tempatan dalam industri minyak dan gas,” katanya.

Nilai ambang kontrak bagi syarikat Sarawak akan dinaikkan yang membabitkan sektor huluan dan hiliran.

Hadir bersama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Naib Presiden dan Pengarah Urusan, Azrul Osman Rani dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu (STIDC), Datu Hashim Bojet. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.