GPS beriltizam tambah enam menteri kabinet persekutuan

Spread the love

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) beriltizam agar jumlah menteri Persekutuan dari Sarawak dapat ditambah dari empat kepada enam atau tujuh jika berjaya membentuk kerajaan baharu bersama parti lain menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata pertambahan jumlah menteri perlu supaya menepati acuan Dasar Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dirangka di peringkat Kerajaan Persekutuan. 

“Keanggotaan Sarawak dalam jemaah menteri adalah amat penting supaya setiap kali percaturan kemajuan berada dalam pertimbangan, negeri di Timur Malaysia ini tidak sesekali disisihkan,” katanya menerusi catatan di Facebooknya, hari ini.

“Usah biarkan gambaran pembangunan sekadar perhiasan yang mewarnai pelan, tetapi hakikatnya, jauh panggang dari api,” katanya lagi.

Pada masa sekarang, GPS mempunyai empat menteri penuh.

Dato Sri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya); Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)) dan Alexander (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

Menjelaskan lanjut, Nanta yang juga bekas Ahli Parlimen Kapit berkata PRU-15 bakal menjadi medan penentu ‘suara’ Sarawak yang lebih besar di peringkat Kabinet.

Ia demi memastikan kepentingan merintis pembangunan saksama dan hak anak jati Negeri Bumi Kenyalang tidak tergelincir ke senarai ‘keutamaan kedua’.

“Seperti rakyat di Semenanjung, ‘menua’ Sarawak juga mengimpikan nikmat kemajuan, dengan kemudahan asas seperti capaian telekomunikasi, perkhidmatan jalur lebar, akses jalan, elektrik, air dan pengangkutan awam khususnya di pedalaman yang menjadi keperluan asasi segera dipenuhi. 

“Sudah terang lagi bersuluh, jurang perbezaan Semenanjung-Sarawak perlu dirungkai sebaiknya,” ujarnya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.