Angka kematian jambatan runtuh di India meningkat kepada 141

Spread the love

NEW DELHI, 31 Okt: Angka kematian akibat runtuhan jambatan gantung di negeri Gujarat barat India meningkat kepada 141, menurut seorang pegawai.

Pegawai kanan bomba di daerah Morbi Devendrasinh Jadeja memberitahu agensi Anadolu operasi menyelamat diteruskan semalaman dan angka kematian mencecah 141 orang setakat pagi Isnin.

“Operasi menyelamat masih diteruskan,” katanya.

Pegawai itu berkata kejadian tersebut berlaku pada petang Ahad di daerah Morbi apabila sebuah jambatan era British runtuh hanya seminggu selepas pengubahsuaian.

Pada awal Isnin, Menteri Dalam Negeri Gujarat Harsh Sanghavi berkata setakat ini 132 orang meninggal dunia dan pasukan pegawai peringkat tinggi sedang menyiasat kejadian.

Menurut penyiar tempatan NDTV, semasa runtuhan terdapat kira-kira 500 orang di atas jambatan itu.

Pentadbiran tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan negeri menyegerakan operasi menyelamat dengan bantuan tentera India.

Perdana Menteri Narendra Modi pada Ahad berkata beliau telah berhubung dengan ketua menteri Gujarat mengenai insiden itu.

“Beliau meminta pasukan bantuan digerakkan segera untuk operasi menyelamat. Beliau meminta agar keadaan itu dipantau dengan teliti dan berterusan, dan menghulurkan semua bantuan yang mungkin kepada mereka yang terjejas,” lapor pejabat Modi di Twitter. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.