PRU-15 : GPS yakin kekalkan Limbang sebagai kubu kuat

Spread the love

LIMBANG, 30 Okt : Gabungan Parti Sarawak (GPS) optimis dapat mempertahankan kerusi Parlimen Limbang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU -15) ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, keyakinan itu berdasarkan indikator kemenangan bergaya yang dicatatkan pada PRU-14 di situ dan berterusan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu.

Namun demikian, Abdul Rahman berkata, ahli dan jentera GPS di Limbang tidak mengambil mudah sebaliknya meneruskan kerja keras untuk memastikan kemenangan.

“GPS juga akan memastikan bukan sahaja Limbang malah kerusi lain di Sarawak juga akan dimenangi oleh kita pada PRU-15 ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS selepas Majlis Perasmian Program Outreach Upu2u 2022 Zon Sarawak di Limbang hari ini.

Pada PRU-14, Datuk Hasbi Habibollah menang kerusi berkenaan setelah meraih 12,589 undi sekaligus menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Richardo Yampil Baba dengan majoriti 7,710 undi.

Sementara itu, Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, GPS kini di peringkat menguatkan lagi jenteranya untuk memastikan parti itu memenangi sekurang-kurangnya 25 hingga 28 kerusi ataupun mencapai kemenangan 31 kerusi parlimen di Sarawak.

“ Insya-Allah GPS akan menang di Limbang namun kita berjuang malah bersedia untuk hadapi apa sahaja cabaran,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.